
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mahu amanat tegas baginda supaya usaha memerangi rasuah dilaksanakan tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda bertitah, integriti dan ketelusan dalam pentadbiran merupakan asas penting bagi memastikan kesejahteraan serta kemakmuran negeri terus terpelihara.
“Usaha memerangi rasuah perlu dilaksanakan tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri.
“Integriti dan ketelusan pentadbiran adalah asas penting dalam memastikan kesejahteraan serta kemakmuran negeri terus terpelihara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Ser Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir di Istana Pasir Pelangi, hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datin Paduka Hazlina Jalil serta Pengarah Tanah dan Galian Johor, Mohammed Shakib Ali.
Pada pertemuan itu, baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai perkembangan semasa dan kemajuan pesat yang dicapai negeri Johor oleh Onn Hafiz.
Baginda bertitah, pentadbiran yang berintegriti dan bebas rasuah akan terus menjadi tonggak utama dalam memastikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri sentiasa terpelihara.





