
SHAH ALAM: Kerajaan akan memperkasakan Penguatkuasaan Peranti Had Kelajuan (SLD) secara berperingkat bagi kenderaan perdagangan termasuk bas persiaran dan ekspres bermula 1 Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah itu sebagai sebahagian usaha meningkatkan keselamatan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan maut membabitkan kenderaan berat.
Beliau berkata, SLD ialah peranti atau sistem kawalan kelajuan yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesebuah kenderaan.
“Peranti ini memainkan peranan penting dalam mencegah pemanduan melebihi had laju, terutamanya bagi kenderaan yang membawa muatan berat atau penumpang,” katanya dalam sidang akhbar di Scania (Malaysia) Sdn Bhd di Bukit Jelutong, hari ini.
Tambah Anthony, penguatkuasaan SLD akan dilaksanakan kepada semua bas persiaran, bas ekspres dan kenderaan barangan berat maksimum melebihi 3,500 kilogram (kg) yang didaftar bermula 1 Januari 2015.
“Kenderaan ini wajib mendapatkan Pengesahan Kefungsian dan Laporan SLD daripada pihak pengilang/pengeluar kenderaan, Technical Service (TS), bengkel atau fasiliti servis atau Badan Pensijilan Bertauliah (oleh Jabatan Standard Malaysia) yang diiktiraf JPJ.
“Dokumen Pengesahan Kefungsian dan Laporan SLD ini wajib diperbaharui setiap dua tahun dan perlu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dan ketika permohonan atau pembaharuan permit di Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Dokumen berkenaan juga perlu dibawa setiap masa di dalam kenderaan bagi tujuan penguatkuasaan oleh JPJ. Penguatkuasaan Pengesahan Kefungsian SLD akan bermula 1 Oktober tahun ini,” katanya.
Anthony berkata, bagi kenderaan barangan (berat maksimum melebihi 3,500kg) dan kenderaan penumpang (membawa penumpang melebihi lapan orang dan berat maksimum melebihi 5,000kg) yang didaftar sebelum 1 Januari 2015 juga wajib mempunyai dan mengaktifkan fungsi SLD dalam Eletronik Control Unit (ECU).
“Kenderaan ‘rebuild’ dan kenderaan barangan Import Terpakai (berat maksimum melebihi 3,500kg) turut akan dikuatkuasakan. Penguatkuasaan pengaktifan SLD dalam ECU akan bermula 1 Januari2026,” katanya.
Pada masa sama katanya, pihak JPJ akan meluaskan aktiviti Conformity Of Production (COP) yang bermula pada April lalu bagi model kenderaan perdagangan yang memiliki sijil Vehicle Type Approval (VTA) bermula 2015.
“Pemeriksaan di kilang-kilang pengeluaran akan memastikan had laju yang ditetapkan pada SLD adalah mengikut Had Laju Kebangsaan. Semua jenis bas dan kenderaan berat ditetapkan had laju maksimum 90km/j,” katanya.
Beliau berkata, bagi kenderaan yang tidak dilengkapi sistem SLD, diwajibkan memasang peranti SLD secara retrofit yang sudah mendapat pengesahan daripada JPJ.
“Pemasangan peranti SLD ini perlu disahkan oleh pihak berkelayakan seperti disebutkan. Langkah ini bertujuan memastikan peranti dipasang mengikut spesifikasi teknikal yang ditetapkan serta berfungsi dengan sempurna bagi menjamin keselamatan dan pematuhan undang-undang berkaitan.
“Penguatkuasaan pemasangan SLD secara retrofit akan bermula 1 Julai 2026. Pelaksanaan penguatkuasaan ini satu langkah penting ke arah memastikan kenderaan perdagangan mematuhi ciri keselamatan kritikal, seterusnya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya membabitkan nyawa dan harta benda,” katanya.






