
KUALA NERUS : UMNO sedia menerima kemasukan mana-mana individu atau tokoh politik, termasuk daripada parti lain yang berhasrat untuk kembali atau menyertai parti itu selaras dengan gagasan Rumah Bangsa.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, konsep Rumah Bangsa diwujudkan sebagai ruang inklusif yang sentiasa terbuka kepada mana-mana pemimpin mahupun orang perseorangan untuk bersama UMNO sama ada secara individu atau dalam kelompok tertentu.
Beliau menambah, pendekatan itu selari dengan matlamat penubuhan Rumah Bangsa memberi peluang kepada semua pihak yang ingin kembali atau menyertai UMNO.
“UMNO merupakan wadah kepada ahli UMNO dan juga sesiapa sahaja yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kedudukan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa berdepan tindakan pemecatan oleh parti tersebut.
Untuk rekod, Hamzah merupakan antara enam Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti pada 14 Disember 2018 dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Ahmad Zahid ketika itu.
Menurut Ahmad Zahid, pendekatan inklusif itu diambil sebagai usaha menyatukan semula orang Melayu di bawah satu platform politik yang stabil, berpengalaman dan berteraskan kepentingan bangsa.







