
KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kini boleh mula mengemukakan permohonan bagi menyertai program tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, peluang tersebut terbuka kepada PMKS seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh pertumbuhan dan daya saing sektor berkenaan.
Katanya, perkara itu dikongsikan semasa Sesi Dialog bersama PMKS serta wakil persatuan dan dewan perniagaan pada program Hari Terbuka@Hab PMKS yang berlangsung di SME Corp. Malaysia, Platinum Sentral, di sini baru-baru ini.
“RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 menggariskan agenda penskalaan PMKS dengan matlamat menaik taraf perusahaan daripada mikro kepada kecil dan seterusnya sederhana.
“Sebanyak RM117 juta telah diperuntukkan kepada SME Corp. Malaysia bagi melaksanakan lapan program khusus untuk PMKS, merangkumi aspek pertumbuhan tinggi serta keterangkuman,” katanya.
Beliau berkata, penskalaan PMKS merupakan agenda utama kerajaan dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara serta membentuk ekosistem PMKS yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.
Rizal berkata, sasaran kerajaan adalah untuk meningkatkan jumlah firma sederhana daripada 1.6 peratus kepada lima peratus menjelang 2030, sekali gus dijangka mampu melonjakkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PMKS sehingga RM1 trilion.
“Hari Terbuka@Hab PMKS pula merupakan antara inisiatif berterusan SME Corp. Malaysia bagi memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan utama maklumat serta khidmat nasihat perniagaan kepada PMKS.
“Sejak diperkenalkan pada Januari 2024, inisiatif tersebut memberi manfaat kepada lebih 100 PMKS setiap bulan menerusi kerjasama strategik melibatkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta,” katanya.
Program bagi Januari 2026 itu turut disertai Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok.
PMKS yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai program di bawah RMK13 boleh melayari laman sesawang rasmi SME Corp. Malaysia di www.smecorp.gov.my
atau mengikuti saluran media sosial agensi tersebut.
Maklumat dan khidmat nasihat juga boleh diperoleh dengan mengunjungi Hab PMKS di Ibu Pejabat SME Corp. Malaysia serta 12 pejabat negeri di seluruh negara.







