
PUTRAJAYA: Bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan dimulakan pada usia lima tahun, manakala kemasukan ke tahun satu ditetapkan pada usia enam tahun.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pelaksanaan perubahan itu tidak diwajibkan buat masa ini bagi memberi ruang kepada semua pihak, khususnya ibu bapa dan warga pendidik membuat persediaan serta menyesuaikan diri dengan persekitaran pendidikan yang baharu.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan murid mempunyai persediaan yang lebih kukuh sebelum melangkah ke pendidikan formal, selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi berdaya saing dan berpengetahuan tinggi.
“Kita beri kelonggaran kepada ibu bapa, namun kita galakkan anak-anak memulakan prasekolah pada usia lima tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 di sini, hari ini.
Selain itu, Anwar juga memaklumkan kerajaan akan melaksanakan semula sistem penilaian murid sekolah rendah pada peringkat darjah empat sebagai sebahagian usaha memperkukuh kualiti pendidikan negara.
Beliau berkata, langkah itu diperkenalkan menerusi Rancangan Pendidikan Negara yang memberi penekanan kepada penilaian awal bagi membolehkan tahap penguasaan murid dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
“Kenapa perlu tunggu hingga darjah enam sekiranya kita boleh memulakan penilaian pada darjah empat.
“Fokus matriks pembelajaran Malaysia adalah kepada empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains,” katanya.
Anwar berkata, bagi peringkat Tingkatan 3, penilaian akan memberi tumpuan kepada mata pelajaran yang sama dengan penambahan subjek Sejarah.





