
KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menukar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam rombakan Kabinet yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Berucap pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-30, Ka Siong mendakwa Ahli Parlimen Nibong Tebal itu tidak menunjukkan kecekapan yang sewajarnya untuk terus menerajui Kementerian Pendidikan (KPM).
“Inilah pandangan majoriti rakyat tanpa mengira kaum atau golongan,” tegas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.
Katanya, negara memerlukan seorang pemimpin berwawasan, berpandangan jauh dan berani melaksanakan pembaharuan dalam sektor pendidikan yang menjadi tunjang masa depan negara.
“Kita berharap Perdana Menteri memandang serius sentimen rakyat kerana kuasa berada di tangan anda.
“Tolong ambil tindakan sewajarnya,” katanya yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pelajaran dari 2008 hingga 2013.
Ka Siong turut mendakwa Fadhlina gagal menangani beberapa isu berbangkit, termasuk persoalan mengenai SJKC Kuek Ho Yao yang dibangkitkannya sebanyak lapan kali di Parlimen namun dikatakan masih belum dijawab.
Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR sebelum ini berdepan pelbagai desakan supaya meletakkan jawatan susulan beberapa insiden membabitkan kes bunuh, rogol dan buli di sekolah yang mencetuskan kebimbangan awam.
Semalam, laporan analisis politik menyebut Fadhlina antara menteri yang berisiko tinggi digugurkan dalam rombakan Kabinet.
Ketika ini, empat portfolio Kabinet masih kosong, iaitu ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam sekitar; pembangunan usahawan dan koperasi; serta pelaburan, perdagangan dan industri.






