
KUALA LUMPUR – Para pelajar pada masa kini berdepan cabaran baharu untuk menentukan apa yang perlu dipelajari terlebih dahulu dengan lambakan maklumat tersedia di hujung jari.
Jika dahulu, pelajar berdepan kekangan untuk mencari maklumat tambahan, namun berbeza buat generasi hari ini yang hanya boleh mendapatkan penerangan sesuatu konsep dalam masa hanya beberapa saat.
Segala kemudahan yang ada di Internet termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) memudahkan pelajar mendapatkan penerangan, namun ia juga menuntut mereka membuat lebih banyak pilihan mengenai kandungan yang benar-benar diperlukan.
Pengasas Bersama TAVIS Education yang juga seorang guru, Nurul Suhada Mazalan berkata, situasi itu semakin kerap dilihat menerusi interaksinya bersama para pelajar.

“Mereka memang mahu buat yang terbaik tetapi apabila terlalu banyak perkara dan bahan di depan mereka, ada yang jadi tidak tahu apa perlu diberi keutamaan dan hendak mula dari mana.
“Kadang-kadang pelajar cuma perlu mula dengan sesuatu yang kecil. Cuba beberapa soalan, tengok bahagian mana yang masih lemah, kemudian baru fokus kepada topik tersebut.
“Bila semuanya dibuat sedikit demi sedikit, proses ulang kaji juga menjadi lebih mudah untuk diuruskan,” katanya.
Perubahan corak pembelajaran juga dapat dilihat menerusi data penggunaan TAVIS Education yang merekodkan peningkatan kira-kira 60 peratus jumlah pengguna platform dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.
Question Bank percuma menjadi antara kemudahan paling banyak digunakan untuk tujuan ulang kaji yang membolehkan pelajar memilih topik tertentu dan terus menjawab soalan tanpa perlu menelusuri pelbagai sumber terlebih dahulu.
“Daripada sekadar membaca nota, kaedah ini membolehkan pelajar menggunakan soalan sebagai titik permulaan untuk mengenal pasti bahagian yang masih belum dikuasai,” tambah Suhada.
Learning Cards pula direka untuk pembelajaran lebih ringkas dan fleksibel yang mana kandungannya boleh digunakan untuk mengulang kaji fakta, konsep, istilah atau perkara penting dalam tempoh singkat.
Ia membolehkan para pelajar memecahkan ulang kaji kepada unit kecil yang lebih mudah dihadam bagi membantu pelajar kembali kepada konsep sama secara berkala, sekali gus menjadikan ulang kaji lebih mudah untuk diuruskan.
Para pelajar masih mempunyai masa untuk membuat pecutan akhir sebelum bermulanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan dilaksanakan dari 26 hingga 29 Oktober ini diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (2-5 November), Ujian Amali Sains (16-18 November, Ujian Mendengar Bahasa Melayu (23 November) dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (24 November).
Kemudian peperiksaan bertulis SPM 2026 akan dijalankan dari 23 November hingga 17 Disember nanti.





