
PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia diseru memperkukuh solidariti kemanusiaan dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin sempena pelepasan delegasi ke misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penderitaan rakyat Palestin tidak wajar dilupakan meskipun dunia berdepan konflik geopolitik dan krisis tenaga.
Beliau berkata, bantuan boleh diberikan melalui doa, sumbangan kewangan serta usaha meningkatkan kesedaran mengenai krisis kemanusiaan itu.
“Ini bukan hanya isu agama tetapi isu kemanusiaan sejagat yang memerlukan sokongan semua pihak tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Bicara Korporat dan Liqa’ Mahabbah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Korporat dan Wakil Tetap Sekretariat Dakwah Korporat hari ini.
Zulkifli berkata, pendekatan lebih tersusun bagi membantu rakyat Palestin kini dilaksanakan melalui penyelarasan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah platform Ops Ihsan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara lebih berkesan dan berintegriti.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta agensi agama lain, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam misi kemanusiaan global.
“Sudah sampai masanya kita bergerak di bawah satu payung membawa nama Malaysia agar setiap usaha bantuan ini lebih terselaras dan memberi impak yang lebih besar,” katanya.
Terdahulu, delegasi GSF yang menghimpunkan lebih 80 kapal dan 1,000 peserta dari seluruh dunia, dijadualkan berlepas dari Barcelona ke Gaza pada 12 April ini bagi mencabar kepungan Israel ke atas wilayah berkenaan.
Misi itu menggabungkan usaha terancang yang diselaraskan dengan mobilisasi antarabangsa di darat, merangkumi solidariti, advokasi undang-undang serta tekanan masyarakat di peringkat akar umbi merentasi pelbagai negara.






