KUALA LUMPUR: Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 34, dihukum penjara enam tahun dan denda RM8.8 juta oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah terhadap lapan pertuduhan rasuah membabitkan tender perkhidmatan pengiklanan tujuh tahun lalu.
Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes di akhir pembelaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga enam tahun dan denda antara RM75,000 hingga RM2.5 juta bagi setiap pertuduhan, dengan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.
Ini menjadikan tertuduh perlu menjalani enam tahun penjara dan membayar denda RM8.8 juta atau berdepan tujuh tahun tambahan penjara sekiranya gagal membayarnya.
Pada 23 Februari 2024, Mahkamah Sesyen memerintahkan Mohd Saifullah membela diri atas lapan pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya namun melepas serta membebaskannya daripada 11 pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM820,530 berhubung tender sama.
Mohd Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1,765,000 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada sebagai dorongan mendapatkan tender “Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan dan Kreatif” bagi kempen Tourism Malaysia, serta tender Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 secara rundingan terus kepada syarikat Plan B Digital Sdn Bhd.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di beberapa tempat antaranya di Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli-belah Pavillion, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Mohd Saifullah juga didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta di Vipod Residences dan Petronas Dengkil antara 11 pagi hingga 11.30 malam pada 21 Dis 2018 hingga 1 Mac 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
