
KUALA LUMPUR : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyeru orang ramai supaya merujuk dan membaca kenyataan penuh beliau di Parlimen berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dibentangkan kelmarin.
Beliau menekankan kepentingan bersikap bertabayyun dengan mendapatkan maklumat yang tepat serta merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat sebarang spekulasi atau penilaian terhadap sesuatu isu.
“Saya menjemput semua termasuk ahli-ahli Parlimen dan seluruh anggota masyarakat untuk merujuk dan meneliti dengan jujur jawapan penuh bertulis di Parlimen.
“Saya menegaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak normalisasi LGBT kerana bercanggah dengan agama, moral dan nilai masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, Zulkifli menerima kritikan daripada pengguna sosial media susulan jawapan bertulisnya di Parlimen mengenai isu tekanan kerja mungkin menjadi antara punca yang mendorong seseorang individu terbabit LGBT.





