
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan siasatan kes kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir mempunyai unsur-unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat di sini hari ini, selepas polis merakamkan keterangan daripada 195 saksi serta memperoleh beberapa bahan bukti penting.
“Saya tak tolak daripada membaca tuduhan itu ada elemen buli. Ya, saya nak sebut, ada elemen buli. Jelas,” katanya.
Beliau berkata, terdapat juga elemen pengabaian, memandangkan Zara pernah membuat aduan kepada pihak sekolah, namun tindakan susulan tidak diambil sewajarnya.
Saifuddin turut memaklumkan antara bukti penting yang diperoleh ialah diari peribadi 51 halaman milik Zara, yang diserahkan kepada polis oleh seorang guru.
“Diari itu memberikan luahan hati adik Zara mengenai catatan tentang masalah yang dihadapinya, termasuk kejadian-kejadian pada 14 dan 15 Julai. Ia turut disokong oleh keterangan rakan-rakan asramanya,” katanya.
Menurut Saifuddin, polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada pagi tadi bagi pertimbangan tindakan lanjut.
Dalam masa yang sama, Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu menetapkan tarikh inkues bermula awal September bagi menyiasat punca sebenar kematian.
“Sekarang kita tunggu keputusan AGC. Sama ada yakin dengan hasil siasatan untuk meneruskan proses seterusnya,” ujar Saifuddin.