
KUALA LUMPUR: Siasatan kes serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, kini diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi memastikan siasatan lebih menyeluruh dan berpusat.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, yang berkata langkah penyerahan kes tersebut kepada Bukit Aman dibuat demi keperluan siasatan yang lebih terperinci.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden berkenaan supaya menyalurkannya ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai demi memastikan keadilan dan ketelusan dalam proses siasatan,” katanya.
Semalam, Shazeli memaklumkanpolis telah menemui beberapa petunjuk positif hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, yang berlaku pada Rabu lalu.
Setakat ini, polis sudah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Rafizi mendakwa anak lelakinya yang berusia 12 tahun diserang seorang lelaki yang didakwa mengheret dan mencucuk jarum suntikan ketika mereka mahu memasuki kereta di pusat beli-belah berkenaan, kira-kira jam 1.45 tengah hari.
Rafizi turut menyatakan tidak menolak kemungkinan insiden itu berkait dengan percubaannya membongkar satu skandal, susulan pertemuannya dengan kumpulan pendedah maklumat (whistleblowers) baru-baru ini.





