
TAWAU: Seorang wanita yang parah selepas dirempuh sebuah pikap dipandu lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol pada 10 Ogos lalu, disahkan meninggal dunia pagi tadi selepas tujuh hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tawau.
Mangsa, Darna Tajudin, 41, dilaporkan mengalami ‘brain death’ dan disahkan meninggal dunia pada pukul 8.37 pagi, sekali gus mengakhiri penantian penuh harapan oleh keluarga dan rakan-rakannya sejak insiden itu berlaku.
Kejadian berlaku pukul 7.55 malam di Batu 9, Jalan Apas, ketika mangsa berjoging bersama beberapa rakan dari arah Bandar Sri Indah menuju ke Jalan Apas (T2), sebelum dirempuh kenderaan yang hilang kawalan.
Adik mangsa, Yusmi Tajudin, 39, ketika dihubungi memaklumkan kakaknya meninggalkan lima orang anak berusia antara 9 hingga 18 tahun.
“Bagaimanapun, urusan pengebumian belum dapat dipastikan kerana masih menunggu beberapa prosedur susulan, memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, memaklumkan siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 57 tahun melanggar bahagian belakang sebuah MPV Perodua Alza, lalu hilang kawalan.
Kenderaan pacuan empat roda itu kemudian terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh mangsa yang sedang berjoging, menyebabkan kecederaan parah.
“Susulan perkembangan terbaru kes ini, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.






