
KUALA LUMPUR: Petrosains Sdn. Bhd. dan Tourism Malaysia memeterai Memorandum Kolaborasi (MoC) bagi mentransformasi pengalaman pelawat ke Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
MoC ini ditandatangani oleh Ezarisma Azni Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, dan Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Pengarah Kanan Pengiklanan & Digital Tourism Malaysia merangkap Ketua Sekretariat VM2026.
Majlis turut disaksikan oleh Nik Rosmanie Nik Mohamad, Pengerusi Lembaga Pengarah Petrosains dan Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.
Dengan sasaran 43 juta pelancong antarabangsa pada tahun 2025, kerjasama ini adalah langkah strategik untuk menjadikan Petrosains dan Menara Berkembar PETRONAS sebagai destinasi unggul untuk dilawati.
“Kami mahu pengunjung bukan hanya kagum dengan seni bina menara ini, tetapi terinspirasi dengan kisah, sains, dan inovasi di sebaliknya.
“Petrosains bukan sekadar pusat sains malah ia kini sebagai rakan strategik pelancongan negara, menggabungkan elemen pendidikan, hiburan dan teknologi dalam satu pakej menarik,” kata Ezarisma Azni.
MoC ini memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu kempen pemasaran bersama & cerita destinasi yang mengujakan; perkongsian aset kreatif untuk penjenamaan konsisten; penyertaan dalam acara pelancongan utama dalam dan luar negara dan aktivasi digital & fizikal selaras di bawah jenama VM2026.
Dalam pada itu, Manoharan berkata, gabungan rangkaian global Tourism Malaysia dengan kepakaran Petrosains akan mengangkat Menara Berkembar PETRONAS sebagai hab pengalaman bertaraf dunia.
“Saya percaya MoC ini terus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pelancongan berasaskan pengalaman dan pendidikan. Menerusi kerjasama ini, kita pasti dapat menyampaikan pengalaman bertaraf dunia yang bermakna, sekali gus menampilkan Malaysia sebagai destinasi yang meraikan ilmu, budaya dan inovasi.
“MoC ini bukan sekadar sebuah dokumen, ia merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam merealisasikan visi industri pelancongan yang dinamik, pelbagai dan berdaya tahan.
“Kerjasama ini bertepatan masanya memandangkan VM2026 bakal menjadi kempen bersejarah yang akan menjenamakan Malaysia sebagai destinasi utama pelancong antarabangsa, serta penanda aras baharu dalam perjalanan pelancongan negara,” katanya.
Petrosains turut melancarkan identiti baharu untuk pengalaman lawatan menara, kini dikenali sebagai PETRONAS Twin Towers Sky Xperience (PeTT SkyX) dengan slogan ‘Jantung Negara. Puncak Pengembaraan Anda’.
Antara elemen yang menanti pelawat Sky Bridge @ Aras 41 yang menghidangkan pemandangan menakjubkan bandar raya KL.
Selain itu, pengunjung juga boleh melawat Sky Deck @ Aras 86 yang menyajikan panorama 360° Kuala Lumpur dengan paparan interaktif mengenai simbolisme dan seni bina menara.
Pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai barangan menarik di Sky Shop yang terletak pada aras 83.
Dengan kolaborasi mantap antara Petrosains dan Tourism Malaysia, pelancong dari seluruh dunia akan disambut dengan pengalaman yang bukan sahaja menakjubkan dari segi visual — tetapi juga mendidik, menghiburkan dan menyentuh jiwa.






