
KUANTAN: Seorang saksi dalam kes pembunuhan lima sekeluarga di Cerating Damai, Kuantan, semalam sempat meminta bantuan sejurus melihat ibunya dalam keadaan berlumuran darah di dapur rumah mereka.
Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Kuantan, Ashari Abu Samah, berkata saksi yang juga adik bongsu kepada suspek terdengar bunyi pertengkaran pukul 7 pagi ketika berada di bilik tidur.
Katanya, saksi kemudian keluar dari bilik dan menoleh ke arah dapur sebelum mendapati ibunya dalam keadaan cedera serta berlumuran darah.
“Mangsa menjerit meminta saksi pergi mendapatkan bantuan bapa saudaranya yang tinggal di belakang kawasan perumahan sama,” katanya.
Ashari berkata, saksi segera mendapatkan bantuan dan kembali ke rumah bersama bapa saudaranya.
Namun, sebaik tiba, mereka mendapati semua mangsa serta suspek berada dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.
Kejadian itu berlaku di sebuah rumah di kawasan perumahan Cerating Damai, Kuantan.
Beliau berkata, rumah berkenaan didiami lapan ahli keluarga termasuk suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, isterinya seorang suri rumah, dua anak perempuan, ibu serta tiga adik lelaki.
Namun ketika kejadian, hanya enam ahli keluarga berada di rumah.
Semakan awal mendapati suspek berusia 32 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod rawatan mental atau kesalahan jenayah lampau.
Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati suspek dipercayai mencederakan isterinya, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, terlebih dahulu sebelum menyerang ibunya, Tuan Kamaria Tuan Puteh, 55.
Suspek kemudian dipercayai mencederakan dua anak perempuannya, Nur Saffiyah Humairah, 4, dan Nur Sumayyah Humairah, 2, sebelum mencederakan diri sendiri dan turut maut.
Kesan kecederaan ditemukan pada beberapa bahagian badan mangsa termasuk tangan, telinga dan leher.
Polis turut merampas sebilah pisau berukuran 29 sentimeter di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Bedah siasat terhadap suspek dan isterinya sudah dijalankan semalam, manakala bedah siasat terhadap ibu serta dua anak mangsa disambung pada pukul 9 pagi tadi.






