
KOTA KINABALU: Noraidah Lamat, ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir, mengakui dia terkejut dan panik sehingga tidak dapat membuat keputusan yang wajar ketika diminta menandatangani dokumen menolak bedah siasat terhadap anaknya.
Wanita berusia 45 tahun itu berkata, tiada penjelasan atau nasihat diberikan mengenai proses bedah siasat, menyebabkan mereka menolak permohonan itu tanpa memahami kepentingannya.
“Jika kami tahu kepentingan bedah siasat, kami tidak akan tandatangan dokumen menolak ia dijalankan,” kata Noraidah dalam satu komen dalam Facebook.
Peguamnya, Hamid Ismail, mengesahkan akaun Facebook bernama ‘Noie AiDa’ adalah milik Noraidah.
Semalam, Bukit Aman mengakui terdapat ketidakpatuhan prosedur oleh pihak polis kerana gagal menjalankan bedah siasat seperti yang sepatutnya.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar, menjelaskan Noraidah sendiri yang menandatangani dokumen hospital untuk menolak bedah siasat terhadap jenazah anaknya.
Zara Qairina, 13 tahun, meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar.
Jabatan Peguam Negara mengarahkan supaya mayat pelajar tersebut digali semula dan bedah siasat dilakukan pada Ahad lalu.
Mayat Zara Qairina kemudian dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, pada Isnin lepas.





