
KUALA LUMPUR: Sekatan perjalanan ke luar negara hanya dikenakan terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpendapatan tinggi dan mencukupi, namun culas membuat bayaran balik pinjaman.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd. Halim berkata, tindakan tegas tersebut tidak melibatkan peminjam yang baru menamatkan pengajian, belum mempunyai pendapatan tetap atau tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40).
Katanya, hanya peminjam yang benar-benar culas serta memenuhi kriteria tertentu akan dikenakan sekatan berkenaan.
“Hanya peminjam berpendapatan tinggi atau mencukupi yang gagal membuat bayaran balik tanpa alasan munasabah akan dikenakan sekatan perjalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Soalan tersebut berkaitan langkah kementerian membantu graduan yang masih belum memperoleh pekerjaan tetap tetapi telah disenarai hitam daripada ke luar negara kerana gagal menjelaskan tunggakan pinjaman PTPTN.
Adam berkata, pada masa ini hanya kira-kira 0.7 peratus daripada keseluruhan peminjam culas disenaraikan untuk tindakan sekatan perjalanan ke luar negara.
Dalam pada itu, beliau berkata tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman selama 12 bulan selepas tamat pengajian masih dikekalkan bagi memberi ruang kepada graduan mendapatkan pekerjaan dan pendapatan yang stabil.
Katanya, peminjam yang menghadapi kekangan kewangan turut dibenarkan melakukan penstrukturan semula bayaran balik mengikut kemampuan masing-masing sehingga usia 60 tahun.
Setakat ini, katanya, sejumlah RM77.5 bilion pinjaman PTPTN telah dikeluarkan bagi membantu lebih 4.26 juta pelajar di seluruh negara.







