
IPOH : Pentadbiran sekolah dibenarkan untuk menghentikan operasi sekiranya suhu panas melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata ketetapan tersebut merupakan sebahagian daripada garis panduan yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 2023 dan boleh dilaksanakan apabila keadaan cuaca panas serta kering menjadi semakin serius.
“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah mempunyai pengalaman yang mencukupi bagi menangani isu yang kita hadapi sekarang (cuaca panas dan kering).
“Sememangnya kita tahu bahawa hal ini juga menjadi satu cabaran bagi KPM untuk memastikan keselesaan dan juga kesihatan anak-anak,” katanya selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng di sini hari ini.
Tambah Kah Woh, aktiviti luar di sekolah juga perlu dihentikan buat sementara waktu sekiranya suhu melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.
Beliau berkata, antara contoh aktiviti luar yang tidak sesuai dilaksanakan ialah merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian.
“Pihak KPM telah memberikan pesanan kepada kesemua pentadbir termasuklah pengetua, guru besar serta Pejabat Pendidikan Daerah supaya sentiasa memantau status suhu harian bagi cuaca panas setiap hari di sekolah dan juga daerah masing-masing,” katanya.





