
SHAH ALAM: Kerajaan menegaskan situasi bekalan minyak negara masih terkawal dan belum mencapai tahap membimbangkan seperti dialami beberapa negara jiran yang terpaksa melaksanakan catuan susulan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekalan semasa mencukupi sekurang-kurangnya hingga Mei ini, selain pemantauan rapi dilakukan setiap hari bagi memastikan kestabilan berterusan.
Menurut beliau, langkah proaktif termasuk peluasan pelaburan oleh Petronas di beberapa negara seperti rantau Teluk, Brazil, Suriname dan Kanada membantu menjamin sumber bekalan serta pulangan kepada negara.
“Setakat ini Alhamdulillah, keadaan kita masih terkawal. Jika dibandingkan dengan beberapa negara di sekeliling, kita harus bersyukur. Namun jangan leka, sebaliknya terus fokus kepada kebajikan rakyat dan kestabilan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, yang memberi jaminan laluan kepada kapal tangki Malaysia melalui Selat Hormuz.
Katanya, hasil perbincangan tersebut membolehkan kapal milik Petronas serta syarikat Malaysia meneruskan perjalanan tanpa gangguan.
Sementara itu, kerajaan mengumumkan penyelarasan sementara kelayakan program BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April ini.
Bagaimanapun, harga petrol RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter, manakala diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak berubah pada RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan memaklumkan kerajaan kini menanggung subsidi petrol dan diesel yang dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan susulan peningkatan harga minyak mentah global.
Konflik berpanjangan di Asia Barat terus memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia apabila harga minyak mentah melepasi paras AS$100 setong, sekali gus meningkatkan beban kewangan negara.




