
JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dalam keadaan tragis apabila rentung selepas lori dipandu bapanya terbakar dalam kejadian di Iskandar Halal Park, Cahaya Baru, Pasir Gudang, hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.46 pagi itu, bapa mangsa yang juga pemandu lori jenis Volvo tanpa muatan berjaya menyelamatkan diri, namun anaknya gagal dikeluarkan sebelum api marak.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum enam anggota dikerahkan ke lokasi.
Menurut beliau, kebakaran membabitkan bahagian kepala lori yang musnah 60 peratus.
“Tindakan awal orang awam cuba memadam kebakaran menggunakan enam unit alat pemadam api jenis debu kering serta bantuan jengkaut yang membawa tanah.
“Bagaimanapun, ketika kejadian terdapat seorang kanak-kanak berada di dalam lori, manakala pemandu sempat menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa ditemukan dalam kenderaan berkenaan selepas api dapat dikawal.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.




