
KUALA LUMPUR: Polis menahan 18 lelaki dipercayai terbabit dalam insiden rusuhan dan serangan terhadap dua lelaki di hadapan KLCC, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam, berkata kejadian pukul 9 malam itu bermula apabila sekumpulan jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’ menyerang seorang pelancong warga India.
Katanya, seorang lelaki tempatan yang cuba meleraikan pergaduhan turut menjadi mangsa apabila diserang dari arah belakang menggunakan senjata dipercayai pisau kerambit.
“Lelaki itu kemudian dipukul beberapa individu sehingga mencetuskan kekecohan apabila kira-kira 30 rakan suspek turut membantu menyerang mangsa,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek berusia antara 17 hingga 45 tahun yang ditahan pada Isnin lalu mengaku berada di lokasi kejadian dan bekerja sebagai jurugambar jalanan di sekitar kawasan berkenaan.
“Hasil pengecaman mendapati dua daripada suspek dikenal pasti saksi sebagai individu yang terbabit secara langsung dalam serangan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Sementara itu, pempengaruh Mohd Fadli Saleh sebelum ini mendakwa dua lelaki mengalami kecederaan di kepala dipercayai akibat dipukul dalam kejadian berkenaan.




