
KUALA LUMPUR: Tiga bekas pegawai kanan di anak syarikat Telekom Malaysia (TM) di Amerika Syarikat (AS) didakwa di mahkamah negara itu atas tuduhan menyeleweng dana melebihi AS$20 juta daripada syarikat berkenaan.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memaklumkan dalam satu kenyataan mengatakan individu terbabit ialah Mohd Hafiz Lockman, Mohd Yuzaimi Yusof dan Khanh Thuong Nguyen, yang masing-masing pernah memegang jawatan eksekutif kanan di anak syarikat TM di AS.
Penolong Pengarah FBI yang bertanggungjawab, James C. Barnacle Jr. dalam satu kenyataan berkata, mereka didakwa menggunakan dokumen serta rekod yang dipalsukan bagi menyalurkan dana syarikat secara tidak sah, selain memperdaya rakan niaga, pembekal, juruaudit dan penyelia di AS dalam beberapa kejadian antara Julai 2020 hingga Februari 2026.
“Tiga individu ini didakwa menjalankan skim pecah amanah yang disengajakan dan terancang, termasuk memalsukan rekod korporat demi kepentingan kewangan sendiri,” katanya.
Mohd Hafiz ditahan di lapangan terbang San Francisco, manakala dua lagi tertuduh tampil menyerah diri kepada pihak berkuasa pada bulan lalu.
Menurut DOJ ketiga-tiga individu itu berdepan pertuduhan konspirasi penipuan wayar, penipuan wayar serta kecurian identiti berat.
Mohd Hafiz, 48; Mohd Yuzaimi, 44; dan Nguyen, 48 bagaimanapun tidak dapat dihubungi segera bagi mendapatkan reaksi.
DOJ turut memaklumkan TM tidak didakwa, susulan tindakan syarikat itu melaporkan sendiri salah laku berkenaan serta komitmen untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Menurut pertuduhan AS, ketiga-tiga defendan didakwa menyalurkan berjuta-juta dolar daripada TM ke akaun bank yang mereka kawal.
Dalam satu kejadian, TM diminta meluluskan penjualan kapasiti lapan terabait kepada sebuah syarikat multinasional AS bernilai AS$54 juta, sedangkan hanya enam terabait sebenarnya dibeli.
Defendan kemudian didakwa menjual lebihan kapasiti itu kepada syarikat lain dan menyalurkan hasil jualan haram tersebut melalui entiti palsu, kata DOJ.
Mereka turut dituduh menaikkan kos pembelian kabel dan mengalihkan hampir AS$2.9 juta pembayaran ke akaun bank yang mereka kawal, selain membuat tuntutan bayaran balik bagi perbelanjaan kerja yang direka-reka.
Ketiga-tiga mereka juga didakwa menyamar sebagai pekerja dan pelatih untuk mendapatkan gaji mereka, malah dalam satu kejadian menggunakan penyamar berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk memperdaya kakitangan sumber manusia, menurut DOJ.







