
SEREMBAN: Suami kepada pelakon, Azar Azmi yang berdepan dua pertuduhan berkaitan urusan mendapatkan Darjah Kebesaran Datuk dan tanah kurniaan negeri Selangor masih berada dalam tahanan penjara kerana belum mampu menjelaskan wang ikat jamin RM21,000.
Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, berkata, keluarganya kini giat mengumpulkan wang bagi membolehkan ikat jamin dibuat, dijangka pada awal bulan depan.
“Belum lagi, saya masih dalam penjara sebab keluarga sedang kumpulkan duit untuk bayar ikat jamin RM21,000. Awal Jun mereka akan bayar ikat jamin. Selepas saya keluar, saya akan usahakan lantik peguam,” katanya.
Dia berkata demikian ketika prosiding sebutan semula pelantikan peguam di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Apri Hazreen hadir ke mahkamah dalam keadaan bertongkat dan memaklumkan belum bersedia melantik peguam, namun bercadang berbuat demikian selepas dibebaskan dengan ikat jamin.
Pada 11 Mac lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menipu dua individu berkaitan urusan mendapatkan Darjah Kebesaran Datuk dan tanah kurniaan negeri Selangor yang didakwa tidak wujud.
Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakan mangsa membuat pembayaran RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang wanita berusia 35 tahun bagi tujuan mendapatkan tanah kurniaan negeri Selangor.
Bagaimanapun, tanah berkenaan didakwa tidak wujud dan mangsa tidak akan menyerahkan wang terbabit sekiranya tidak diperdayakan.
Di Mahkamah Majistret pula, Mohd Apri Hazreen didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat bayaran RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk.
Mengikut pertuduhan, perbuatan itu dilakukan di sebuah pejabat di Seremban 2 antara 22 Oktober hingga 9 November tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Mohd. Ideris.





