
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengarahkan semua kompleks beli-belah dan pasar raya di negeri itu menutup operasi sepenuhnya pada hari pertama Aidiladha.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, pelaksanaan arahan itu adalah selaras dengan keputusan yang dibuat semasa sambutan Aidilfitri sebelum ini.
Menurut beliau, premis makanan segera, kedai serbaneka dan premis seumpamanya pula hanya dibenarkan beroperasi selepas pukul 1 tengah hari pada hari pertama Aidiladha.
“Keputusannya sama seperti yang diputuskan ketika Aidilfitri lalu.
“Kompleks beli-belah, pasar raya dan pasar raya besar ditutup sepenuhnya pada hari pertama hari raya.
“Premis makanan segera, kedai serbaneka dan premis seumpamanya pula ditutup sehingga pukul 1 tengah hari pada hari pertama Aidilfitri dan Aidiladha,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memberi ruang kepada pekerja Islam menunaikan solat sunat Aidiladha selain melaksanakan ibadah korban bersama keluarga.





