
SEREMBAN : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu berlangsung tahun ini.
Beliau berkata, penentuan tarikh sebenar bergantung kepada situasi semasa dan kesesuaian keadaan.
“Kita tengoklah keadaan. Kita rasa Pilihan Raya Umum (PRU) pun dah dekat. Tapi saya tak menolak kemungkinan PRN tahun ini, kemungkinan tahun depan… Insya-Allah.
“Saya pun rasa cantik diadakan sekarang atau cantik akan datang…. semua cantik,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkenaan, Aminuddin menjelaskan pihaknya akan mempertimbangkan kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri jiran seperti Melaka dan Johor, yang dijangka berlaku lebih awal.
Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan PRN Negeri Sembilan akan diadakan serentak dengan dua negeri terbabit.
“Kita tengoklah kesesuaian, rakan-rakan jiran kita bila mereka adakan pilihan raya. Mungkin kita sekalikan saja dan itu antara yang kita akan timbang,” katanya.
Apabila ditanya sama ada PH negeri itu akan bertanding secara bersendirian, beliau menjelaskan keputusan tersebut terletak di tangan kepimpinan tertinggi parti.
“Selalu saya cakap, kita di peringkat negeri ini kena akurlah apa juga keputusan di peringkat Persekutuan, setelah berunding, berbincang demi kebaikan semua.
“Tapi banyak pandangan suruh kita berbanding solo. Tapi politik ini hari ini lain, esok ia berubah. Dulu kita kawan, lepas itu boleh jadi tak kawan,” katanya.







