
SEPANG: Sebarang perkembangan terkini mengenai nasib kesemua peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 yang ditahan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) belum diterima Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC).
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya dimaklumkan peserta misi itu dipercayai ditempatkan di “penjara atas kapal” sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod, namun setakat ini maklumat rasmi masih sangat terhad.
“Kami belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai nasib ratusan aktivis kemanusiaan kita walaupun penahanan sudah dibuat hampir 48 jam.
“Boleh jadi mereka dipukul, boleh jadi mereka berhadapan dengan tindakan agresif. Saya kira masa ini adalah masa yang sangat penting dan jika dalam tempoh 48 jam tidak ada maklumat pendaratan di Pelabuhan Ashdod.
“Saya kira ini adalah satu insiden yang perlu dunia ambil peduli dan masuk campur,” katanya pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 di sini hari ini.
Sani Araby berharap komuniti antarabangsa termasuk badan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Israel memberi akses maklumat serta menjamin keselamatan semua aktivis kemanusiaan itu.
“Seperti tahun lepas, SOP (prosedur operasi standard) yang telah kita latih, apabila sampai waktu genting terakhir, mereka telah disuruh untuk membuang telefon bimbit untuk elak daripada dirampas. Jadi untuk menjawab soalan ini, apabila mereka diculik, kita secara penuh terputus hubungan dengan semua delegasi Malaysia dan delegasi dunia.
“Kami menuntut ketelusan dan jaminan keselamatan kepada semua aktivis kemanusiaan yang menyertai misi ini. Mereka berada di sana atas dasar kemanusiaan, bukannya ancaman ketenteraan,” katanya.






