
SHAH ALAM: Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin tidak dapat menahan sebak apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan anak keduanya diserahkan semula ke pangkuannya tanpa sebarang syarat dan bon.
Zaim Ikhwan Zahari, 31, mengalirkan air mata sejurus Hakim Suriyati Hasimah Mohd Hashim membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sebahagian daripada 14 syarat serta bon yang sebelum ini dikenakan Mahkamah Majistret Shah Alam pada 21 November tahun lalu.
Ketika membacakan keputusan, hakim memaklumkan bon RM2,000 dan syarat tambahan selama tiga tahun yang dikenakan oleh mahkamah rendah diketepikan.
“Mahkamah memerintahkan hak penjagaan kanak-kanak lelaki yang kini berusia tujuh tahun diberikan kepada perayu tanpa sebarang syarat,” katanya.
Dalam prosiding itu, peguam Lavanesh Haresh Mahadevan mewakili Zaim Ikhwan manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aida Mat Rifin.
Sebelum ini, selepas 18 bulan dijaga oleh nenek saudara di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan adik kepada Zayn Rayyan dipulangkan kepada bapanya pada November tahun lalu.
Bagaimanapun, Majistret Ameera Mastura Khamis menetapkan 14 syarat yang dicadangkan JKM, termasuk kanak-kanak itu tidak boleh ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa serta perlu menerima pendidikan dan terapi sewajarnya.
Mereka juga diarahkan menetap di alamat yang ditetapkan mahkamah selain perlu memaklumkan kepada JKM sekiranya berlaku pertukaran tempat tinggal.
Selain itu, kanak-kanak terbabit tidak dibenarkan dijadikan kandungan media sosial dan pihak JKM boleh mengambil semula kanak-kanak tersebut sekiranya mana-mana syarat dilanggar.
Tidak berpuas hati dengan syarat berkenaan, Zaim Ikhwan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi pada 2 Disember 2025 bagi membatalkan sebahagian syarat serta bon tersebut.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan yang menghidap autisme ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Susulan kejadian itu, pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berusia enam tahun itu sehingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Bagaimanapun, Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri pada 21 Julai 2025 di akhir kes pendakwaan.
Sementara itu, pada 31 Oktober tahun sama, Hakim Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya.





