
KUALA LUMPUR: Dua nama besar dalam industri muzik tanah air, Cromok dan Barbarik bakal berkongsi pentas menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadual berlangsung pada 27 Jun ini di IdeaLive Arena, 3Damansara, Petaling Jaya.
Konsert anjuran KARLLegacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti peminat muzik rock tahun ini dengan menampilkan konsep tersendiri.
Peminat juga bakal disajikan dengan sebuah segmen khas tribute kepada kumpulan legenda Kembara menerusi pendekatan susunan muzik yang lebih segar.
Gitaris Barbarik, Jobranko berkata, idea segmen berkenaan tercetus bagi memberi warna berbeza kepada keseluruhan perjalanan konsert selain menghargai kumpulan yang banyak memberiinspirasi kepada mereka sejak zaman remaja.
“Saya memang tidak suka buat konsert yang terlalu straight forward. Bagi saya, orang beli tiket bukan sekadar mahu tengok band main lagu tetapi mereka mahu sebuah pengalaman.
“Sebelum ini saya pernah berkolaborasi dengan beberapa kumpulan lain tetapi bersama Cromok cabarannya lebih besar kerana karakter vokal Mus dan Sam sangat berbeza.
“Justeru, kami fikir perlu ada sesuatu yang boleh menarik peminat lebih teruja menyaksikan konsert ini,” katanya.

Joe menambah, kedua-dua kumpulan sepakat memilih lagu-lagu Kembara kerana kumpulan itu mempunyai karya malar segar yang dekat dengan jiwa mereka selain sarat mesej dan nilai kehidupan.
“ Kami membesar dengan lagu-lagu Kembara. Banyak lagu mereka sebenarnya underrated walaupun mempunyai lirik dan mesej yang sangat kuat.
“Jadi kami akan rearrange lagu-lagu ini supaya lebih segar dan sesuai dengan energi persembahan Black On White.
“Paling menarik, segmen ini akan menyaksikan Barbarik dan Cromok bergabung dalam beberapa persembahan khas sebagai penghormatan kepada Kembara,” ujarnya.
Sementara itu, Karl Cromok menyifatkan segmen berkenaan sebagai satu perjalanan nostalgia yangdiberikan nafas baharu mengikut identiti muzik kedua-dua kumpulan.
“Kembara adalah antara muzik yang kami dengar ketika zaman remaja. Segmen berkenaan ibarat mengimbau kembali kenangan lalu tetapi diberikan sentuhan rock yang lebih moden dan bertenaga,” katanya.

Selain segmen tribute Kembara, peminat akan menjadi ‘saksi’ kolaborasi eksklusif antara Cromok dan Barbarik termasuk persembahan single baharu daripada kedua-dua kumpulan yang akan dipersembahkan secara langsung buat pertama kali.
Karl menambah, konsert berkenaan turut mencipta kelainan tersendiri apabila tampil dengan konsep No Noise Digital Stage yang menggunakan teknologi persembahan digital sepenuhnya.
“Kami menggunakan pendekatan persembahan 100 peratus digital tanpa penggunaan amplifier gitar atau dram akustik di atas pentas.
“Semua audio dipantau menggunakan sistem digital dan in-ear monitor bagi menghasilkan bunyi yang lebih bersih serta pengalaman audio yang lebih berkualiti kepada penonton,” ujarnya.
Barbarik bagaimanapun masih mengekalkan pendekatan persembahan konvensional mengikut keselesaan dan identiti kumpulan itu sendiri dengan penggunaan monitor wedges serta setup pentas yang lebih organik, namun tetap dibantu penggunaan mixer digital.
Konsert Black On White Cromok-Barbarik yang mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures melalui Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik, DanaPersembahan Muzik menawarkan beberapa kategori tiket pada harga bermula RM175 sehingga RM998.







