
ENGLAND: Arsenal dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun selepas Manchester City gagal menewaskan Bournemouth.
Manchester City memerlukan kemenangan untuk merapatkan jurang dengan Arsenal kepada hanya dua mata sekali gus mengheret perebutan kejuaraan ke hari terakhir musim pada Ahad ini.
Pasukan kendalian Mikel Arteta itu turut mara ke pentas final Liga Juara-Juara Eropah (UCL)menentang Paris Saint-Germain pada 30 Mei ini.
The Gunners kini memburu kejuaraan Eropah pertama dalam sejarah kelab sekali gus melengkapkan musim yang boleh dianggap terbaik buat Arsenal.
Arteta yang mengambil alih pasukan pada 2019, menjadi bekas pemain EPL pertama memenangi gelaran liga sebagai pengurus.
Kejayaan tersebut sudah pasti membawa kegembiraan buat bekas pemain Arsenal dan Everton itu selepas tiga musim berturut-turut menamatkan saingan sebagai naib juara liga.

Pada musim 2023 dan 2024, Arteta menyaksikan sendiri bagaimana pasukan Manchester City kendalian Pep Guardiola mengejar Arsenal sebelum muncul juara.
Pada musim lalu, Arsenal sekali lagi terlepas peluang merangkul juara EPL apabila sekadar menamatkan saingan di belakang Liverpool.
Bagaimanapun, Arsenal membuktikan mampu melakar sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian para penyokong dengan ‘menghadiahkan’ juara EPL dalam saingan sengit sehingga penghujung musim.
Kejayaan itu dibina menerusi kekuatan benteng pertahanan serta kelebihan dalam situasi bola mati.
Arsenal hanya melepaskan 26 gol dalam 37 perlawanan liga, jumlah paling sedikit musim ini, selain merekodkan 19 aksi tanpa bolos.
The Gunners menjaringkan 24 gol menerusi situasi bola mati, tertinggi dalam liga termasuk 18 gol daripada sepakan penjuru yang merupakan jumlah terbanyak pernah dicatatkan oleh mana-mana pasukan dalam era EPL







