
PETALING JAYA: Kerajaan Selangor membatalkan projek ternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor susulan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain mengambil kira bantahan keras masyarakat setempat terhadap pelaksanaannya.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu selepas Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim membentangkan laporan mengenai tentangan hebat terhadap projek berkenaan.
Katanya, MMKN pada asalnya mengarahkan supaya lokasi alternatif dikenal pasti berikutan kebimbangan serta bantahan yang timbul di kawasan Bukit Tagar.
“Sebelum Perdana Menteri menyarankan supaya projek ini dibatalkan terlebih dahulu, MMKN memang sudah mengarahkan pencarian kawasan alternatif kerana wujud bantahan keras.
“Cadangan Perdana Menteri itu saya sambut baik, namun buat masa ini kerajaan negeri tidak akan memaklumkan sebarang lokasi baharu atau cadangan lain kerana keputusan muktamad masih belum dibuat,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.
Jumaat lalu, Anwar mencadangkan supaya projek berkenaan dibatalkan selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri berpandangan isu tersebut melibatkan faktor alam sekitar serta keresahan rakyat pelbagai kaum di kawasan terlibat yang wajar diberi perhatian serius.
Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 12 Januari lalu menzahirkan kemurkaan terhadap perancangan kerajaan negeri membenarkan penternakan babi berskala besar di Tanjung Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Baginda menzahirkan kebimbangan memandangkan Kuala Langat didiami majoriti penduduk Melayu dan masalah berkaitan penternakan babi di kawasan itu masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.
Amirudin turut memaklumkan Anwar menyampaikan cadangan pembatalan projek tersebut menerusi panggilan telefon ketika beliau berada di luar negara bagi menghadiri pemukiman sebuah agensi kerajaan negeri.
Beliau mengakui pengumuman awal mengenai rancangan itu mencetuskan pelbagai reaksi dan perdebatan dalam kalangan masyarakat.
“Isu ini diumumkan terlalu awal sedangkan banyak perkara belum dimuktamadkan, seolah-olah projek itu sudah hampir dilaksanakan.
“Kita mengambil iktibar daripada perkara ini dan pada masa hadapan, penglibatan serta perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk pengusaha perlu dibuat dengan lebih teratur,” katanya.






