
SHAH ALAM: AEON Co. (M) Bhd. (AEON) menjalin kerjasama strategik bersama Tourism Malaysia bagi menyokong pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), sekali gus memperkukuh promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan, beli-belah dan gaya hidup bertaraf antarabangsa.
Melalui kolaborasi itu, AEON akan memanfaatkan rangkaian pusat beli-belahnya di seluruh negara sebagai platform promosi dengan menampilkan pelbagai aktiviti serta tawaran eksklusif kepada pelancong tempatan dan antarabangsa sepanjang tempoh kempen.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, kerjasama strategik antara AEON dan Tourism Malaysia mencerminkan peranan penting sektor swasta dalam menyokong agenda TMM 2026 serta memberi kesan limpahan ekonomi kepada sektor berkaitan.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan, malah turut menjana kesan limpahan ekonomi
kepada industri berkaitan seperti peruncitan, hospitaliti dan perkhidmatan.
“Kolaborasi seperti ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan serta
meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan,” katanya dalam majlis perasmian kerjasama tersebut di AEON Mall Shah Alam, hari ini.
Pada majlis sama, AEON turut melancarkan barangan edisi terhad iaitu beg tote dan headband AEON Mall x TMM 2026 yang boleh ditebus oleh pengunjung dengan perbelanjaan minimum RM350 menerusi gabungan sehingga tiga resit pembelian.
Sebagai usaha promosi, AEON akan menampilkan maskot rasmi TMM 2026, Wira dan Manja, sebagai elemen hiasan perayaan di pusat beli-belahnya di seluruh negara, selain memaparkan video destinasi Visit Malaysia di skrin LED AEON.
AEON turut bekerjasama dengan pelbagai pemain industri termasuk hotel, ejen pelancongan, syarikat penerbangan dan rakan peruncitan lain bagi memperluas capaian promosi kempen TMM 2026.
Sepanjang tempoh kempen, pelbagai inisiatif menarik dirancang antaranya Cerita Raya bersama Wira & Manja, AEON Carnival Bazaar yang menampilkan pelbagai makanan tempatan, serta penganjuran Tourism Malaysia Run di beberapa negeri terpilih.
Pengerusi AEON, Datuk Iskandar Sarudin, berkata kerjasama itu selari dengan aspirasi AEON Mall sebagai pusat beli-belah berkonsepkan gaya hidup yang menyokong pembangunan ekonomi dan pelancongan negara.
“AEON sebelum ini turut menyokong usaha kerajaan menerusi penganjuran AEON Mall Shopping Tour di Johor yang berjaya menarik lebih 3,000 pengunjung dari Singapura, sekali gus merancakkan sektor peruncitan tempatan,” katanya.





