
PUTRAJAYA : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan sekurang-kurangnya 10 kumpulan ajaran sesat masih aktif di negara ini dan kini berada di bawah pemantauan rapi pihak berkuasa agama, termasuk beberapa yang mempunyai unsur pengaruh serta jaringan dari luar negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, semua ajaran berkenaan dikenal pasti bergerak aktif dalam negara dan dipantau secara berterusan melalui kerjasama erat dengan pihak berkuasa agama di peringkat negeri.
“Daripada maklumat yang diterima, jumlah ajaran sesat yang dikenal pasti ketika ini adalah sekitar 10 dan semuanya berada dalam negara, malah ada antaranya turut beroperasi di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Temubual Khas Bersama Pengarang Kanan Agensi Media, di pejabatnya, di sini hari ini.
Sirajuddin berkata, modus operandi kumpulan ajaran sesat lazimnya bermula di kawasan luar bandar sebelum menembusi kawasan bandar bagi memperluas pengaruh dan merekrut pengikut baharu.
“Biasanya mereka berkumpul di luar bandar dahulu, kemudian dibawa ke bandar. Ajaran ini juga tidak terikat dengan negeri tertentu kerana mereka akan beroperasi di lokasi yang dirasakan selamat dan mudah mendapatkan pengikut,” katanya.
Tambah Sirajuddin, antara punca utama masyarakat mudah terjerumus dengan ajaran sesat ialah kecenderungan untuk mencapai tahap kerohanian secara pantas tanpa melalui proses pembelajaran agama yang sahih serta amalan yang berlandaskan ajaran sebenar Islam.
“Ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini terleka dengan amalan agama, kemudian mencari jalan singkat untuk ‘cepat sampai’ ke makam yang lebih tinggi. Di situlah mereka mudah terjebak,” katanya.
Beliau berkata, cabaran terkini menyaksikan ajaran sesat bukan hanya bersifat tradisional malah turut menyamar dalam bentuk program motivasi, pembangunan diri serta modul kerohanian, sekali gus menyukarkan pengesanan awal.
“Ada ajaran yang datang dalam bentuk motivasi atau program tertentu, namun hakikatnya membawa fahaman yang menyeleweng. Perkara ini memang dalam radar JAKIM,” katanya.





