KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) mengecam tindakan serbuan serta penutupan sebuah hotel di Melaka yang didakwa ‘mesra gay’, meskipun siasatan awal tidak menemukan sebarang pelanggaran terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Presidennya, Datuk William Ng berkata, tindakan pihak berkuasa menyita lesen perniagaan hotel berkenaan dan mengarahkan penutupan sementara disifatkan sebagai tergesa-gesa kerana dibuat sebelum siasatan menyeluruh dijalankan.
Katanya, pendekatan penguatkuasaan berdasarkan dakwaan tular di media sosial tanpa bukti kukuh boleh menjejaskan keyakinan komuniti perniagaan khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Dengan sasaran kerajaan untuk menarik 47 juta pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, sektor hospitaliti dan PKS dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
“Namun, usaha ini memerlukan kepastian perniagaan serta pematuhan kepada kedaulatan undang-undang.
“Tindakan pentadbiran yang dilihat menghukum perniagaan berdasarkan sentimen, bukannya peruntukan undang-undang, boleh mewujudkan persekitaran perniagaan yang tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan supaya segera mengembalikan lesen perniagaan hotel berkenaan dan membenarkannya beroperasi semula sementara siasatan diteruskan.
Semalam, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjalankan serbuan terhadap hotel terbabit susulan dakwaan ia bersifat ‘mesra gay’, namun tidak menemui sebarang kesalahan di bawah enakmen syariah negeri.
Exco Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, lesen perniagaan hotel berkenaan disita bagi memudahkan siasatan kerana pemiliknya tidak berada di premis ketika serbuan dijalankan.
Hotel tersebut diarahkan menghentikan operasi selama sehari sementara pemilik dipanggil memberi penjelasan berhubung dakwaan berkenaan, dengan lesen hanya akan dipulangkan sekiranya penjelasan itu didapati memuaskan.
William turut memberi amaran tindakan penutupan secara sewenang-wenangnya boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan yang stabil serta mesra perniagaan.
Namun, beliau mengingatkan pengusaha perniagaan sentiasa peka terhadap sensitiviti budaya tempatan dan mengamalkan tahap kesedaran sosial yang tinggi bagi mengelakkan sebarang isu yang boleh menjejaskan operasi mereka.
