
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa siasatan dilakukan terhadap projek mesin layan diri nasi lemak.
Dalam hantaran Facebook, Mohd Puad berkata, Ketua Audit Negara perlu menyiasat projek berkenaan yang dikendalikan Rafizi Ramli ketika memegang jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
“Ini isu rakyat. Justeru saya mendesak Ketua Audit Negara mesti menyiasat status projek tersebut. Apakah masih berkesan, tidak membazir dan tidak ada make up pembelian vending machine.
“Jangan jadi macam projek MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Harga satu kiosk RM25K.
“Mahal dan membazir kerana banyak kiosk kosong,” katanya.
Beliau menambah, semasa berucap di Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Naib Presiden parti berkenaan, Datuk Seri R Ramanan mengkritik projek Vending Machine Nasi Lemak.
Katanya, Ramanan mengkritik secara terbuka depan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perwakilan.
“Projek bernilai RM750 juta itu adalah idea bernas Rafizi masa jadi Menteri Ekonomi. Ramanan menganggap projek itu gagal.
“Sebab itu dia berani menasihati PMX secara terbuka agar lain kali pilih Menteri Ekonomi yang betul-betul layak.
“Patutlah dia tuduh Rafizi menteri paling gagal. Siasat segera,” katanya.







