
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan beliau turut dipanggil pihak berkuasa bagi memberi keterangan berhubung siasatan berkaitan dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata tujuan sebenar pemanggilannya tidak dimaklumkan secara jelas, namun percaya ia berkaitan siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang menyentuh aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.
Katanya, beberapa individu daripada kalangan akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga difahamkan sudah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung perkara sama.
“Saya dimaklumkan beberapa rakan dari dunia akademik dan NGO sudah dipanggil polis untuk memberi keterangan.
“Saya juga akan memberi keterangan hari ini tetapi tidak pasti kenapa saya dipanggil.
“Saya tertanya-tanya sama ada ini satu cubaan untuk mengaitkan pembangkang dengan isu ini,” katanya.
Wan Saiful menjelaskan, Seksyen 124B Kanun Keseksaan merujuk kepada aktiviti tidak berperlembagaan yang menggunakan cara ganas bagi menggulingkan institusi Parlimen yang dipilih melalui sistem demokrasi.
Beliau percaya siasatan itu berkait dengan satu laporan polis yang tular di internet yang mendakwa wujud perbincangan antara keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin dengan sebuah firma asing bagi menggunakan media antarabangsa untuk tujuan tertentu yang didakwa menyalahi undang-undang.
Menurutnya, laporan polis tersebut dibuat oleh seorang editor media yang turut menjalankan perniagaan konsultansi perhubungan awam.
“Saya difahamkan individu berkenaan pernah menawarkan perkhidmatan perhubungan awam kepada balu Allahyarham Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid bagi menangani pelbagai tohmahan terhadap beliau dan keluarganya, namun tawaran itu ditolak.
“Saya tidak menolak kemungkinan laporan polis itu dibuat sebagai tindak balas terhadap penolakan tersebut. Jika benar, maka integriti individu berkenaan dalam menjalankan perniagaan perhubungan awam dan syarikat medianya boleh dipersoalkan,” katanya.
Namun, Na’imah sebelum ini menafikan dakwaan yang dibuat oleh editor media terbabit.
Sehubungan itu, Wan Saiful turut mempersoalkan bagaimana aktiviti media atau kempen awam boleh disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Katanya, takrifan ‘menjejaskan demokrasi berparlimen’ pernah dibahaskan oleh Ahli Parlimen pembangkang, termasuk oleh Menteri Dalam Negeri sekarang, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai takrifan yang terlalu longgar.
“Persoalan asasnya ialah bagaimana laporan media atau kempen awam boleh diklasifikasikan sebagai aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
“Adakah kempen awam oleh ahli politik atau parti politik, atau kritikan terhadap kerajaan yang disiarkan oleh media juga akan dianggap sebagai kesalahan di bawah kerajaan?” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan sekiranya terdapat pengamal media yang gagal memperoleh sesuatu projek, kemudian menggunakan maklumat yang dimiliki untuk menimbulkan masalah kepada pihak yang menolak perkhidmatan mereka.
Menurutnya, keadaan itu boleh menjejaskan kepercayaan terhadap media yang sepatutnya berperanan sebagai ‘tonggak keempat demokrasi’.
“Semua rakyat Malaysia berhak mempertahankan diri dan membetulkan naratif secara sah melalui media massa atau mana-mana saluran yang dirasakan sesuai,” katanya.





