
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus giat membanteras penyebaran maklumat palsu di platform digital apabila berjaya menurunkan sebanyak 2,354 kandungan deepfake serta 46,966 kandungan palsu dalam tempoh tiga tahun sejak 1 Januari 2022.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, antara tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 Oktober lalu, SKMM telah mengemukakan 3,074 permohonan kepada penyedia perkhidmatan bagi menurunkan kandungan deepfake. Daripada jumlah itu, 77 peratus atau 2,354 kandungan berjaya dipadam hasil tindakan segera pihak berkuasa bersama penyedia platform.
Sementara itu, bagi kandungan palsu, Nie Ching memaklumkan sebanyak 55,218 permohonan telah dikemukakan kepada penyedia perkhidmatan, dengan 46,966 kandungan atau 85 peratus daripadanya berjaya diturunkan.
“Tindakan penurunan ini dibuat berdasarkan aduan yang diterima serta garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh setiap platform, selaras dengan undang-undang tempatan.
“Kerjasama dengan platform media sosial dan agensi penguat kuasa turut giat dijalankan bagi menangani penyebaran maklumat palsu, termasuk kandungan palsu yang dijana oleh AI (kecerdasan buatan),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Nie Ching memberikan penjelasan itu sebagai menjawab pertanyaan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan) yang membangkitkan isu langkah kerajaan membendung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti Deepfake dan ChatGPT dalam penyebaran maklumat palsu, termasuk manipulasi imej serta suara yang boleh menimbulkan keresahan awam dan ketegangan kaum.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerajaan telah menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) sebagai langkah memperkukuh keselamatan siber negara, termasuk mengawal selia kandungan yang memudaratkan.
Katanya, akta itu turut memperincikan tanggungjawab dan kewajipan penyedia perkhidmatan aplikasi, kandungan serta rangkaian yang dilesenkan bagi memastikan ekosistem digital lebih selamat.
Nie Ching turut memaklumkan SKMM kini sedang membangunkan instrumen subsidiari di bawah Akta 866, di samping merangka peraturan dan kod baharu dengan penekanan terhadap pengurusan risiko dalam talian.





