KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan aset berjumlah 132 juta pound (RM758.2 juta) yang terdiri daripada tujuh hartanah termasuk tiga kediaman mewah di London dan satu akaun bank milik isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid serta keluarga.
Hasil siasatan dijalankan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan didakwa berhubungan dengan suatu kesalahan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan SPRM untuk membekukan kesemua harta berkenaan pada prosiding secara sebelah pihak (ex-parte), hari ini.
Media sebelum ini melaporkan SPRM bertegas untuk tetap mengambil tindakan pelucutan sebahagian hak pemilikan harta Allahyarham Daim dan keluarganya yang didakwa tidak diisytiharkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dipetik berkata pihaknya juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak kertas siasatan akan dibuka dalam tindakan melucutkan hak harta berkenaan.
Beliau dilaporkan mengulas kenyataan peguam isteri Daim dan keluarga yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak masuk akal dan dibuat tanpa asas perundangan, susulan Azam mengesahkan SPRM sedang berusaha untuk melucutkan hak pemilikan harta milik Daim dan keluarganya.
Selain RM2 bilion harta Daim yang kini dibekukan oleh SPRM, Azam dilaporkan berkata, agensi itu percaya masih ada harta tidak diisytiharkan di luar negara membabitkan yang dimiliki ahli keluarga serta proksi Allahyarham.
