
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengeluarkan surat memanggil bekas pegawai Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau dikenali sebagai James Chai, untuk tampil dalam tempoh dua minggu.
Tindakan itu diambil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan perjanjian berskala besar dengan ARM Holdings Plc, sebuah syarikat semikonduktor terkemuka dari United Kingdom (UK).
Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan James Chai dikenal pasti sebagai individu penting yang diperlukan bagi membantu proses siasatan tersebut.
Tambahnya, pada 4 Mac 2026, pihak SPRM turut mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi menjejaki keberadaan James Chai.
“Susulan itu, SPRM menerima surat daripada Tetuan individu terbabit bertarikh 9 Mac 2026 yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.
“SPRM kemudiannya telah mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac 2026 memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac 2026, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan tersebut, SPRM telah mengeluarkan surat pada hari ini (Rabu) yang menetapkan James Chai perlu hadir dalam tempoh dua minggu dan SPRM juga bersedia untuk menanggung kos penerbangan pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.
SPRM menambah, sekiranya James Chai masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, kerjasama saluran antarabangsa termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) atau agensi penguatkuasaan luar negara akan dipertimbangkan bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.
“Semua individu yang dipanggil untuk membantu siasatan wajib memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Sekiranya beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan yang sewajarnya adalah tampil memberi keterangan kepada SPRM, bukannya terus mengemukakan penjelasan di ruang awam tanpa menghadirkan diri kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
SPRM menegaskan, tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang dan siasatan akan diteruskan secara profesional, bebas dan berasaskan bukti.
Dalam pada itu, SPRM memaklumkan telah merekod keterangan 17 saksi melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Siasatan berkaitan kes ini sedang giat dijalankan.
“SPRM juga telah mengambil dokumen penting termasuk perjanjian dan dokumen sokongan serta dijangka akan merakam percakapan lapan lagi saksi, termasuk individu yang berada di luar negara,” ujarnya.
Pada 12 Februari, SPRM menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan sebuah kementerian.







