
IPOH: Stadium Perak dijangka boleh digunakan sepenuhnya, termasuk bagi penganjuran perlawanan bola sepak kompetitif antara Oktober hingga November ini, namun keputusan akhir tertakluk kepada pengesahan teknikal yang dilakukan pihak berwajib.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata buat masa ini keseluruhan kemajuan projek mencapai kira-kira 95 peratus, dengan kerja fizikal utama termasuk sistem saliran bawah tanah, longkang perimeter, pemasangan sistem penyembur automatik serta penanaman rumput telah dilaksanakan.
Beliau berkata rumput jenis Axonopus Putra yang ditanam sepenuhnya pada 1 Julai lepas kini berada dalam fasa pertumbuhan dan pematangan, dengan tahap kepadatan mencapai sekitar 90 hingga 92 peratus.
“Baki kerja kini lebih tertumpu kepada penjagaan agronomi dan kemasan padang seperti pemotongan rumput, pembajaan, kawalan kelembapan serta rumpai, penampalan kawasan kurang padat, selain kerja-kerja rolling, hollow tining dan top dressing bagi memastikan permukaan padang kekal sekata.
“Pada masa sama, kami perlu membezakan antara kemajuan projek sebanyak 95 peratus dengan tahap kepadatan rumput yang kini sekitar 90 hingga 92 peratus. Rumput memerlukan masa untuk akar mengukuh dan permukaan benar-benar stabil sebelum boleh menerima tekanan permainan kompetitif,” katanya kepada Bernama semalam.
Pada 2 Mac lepas, Ng memaklumkan Stadium Perak dijangka kembali digunakan pada September ini susulan kerja-kerja menaik taraf kemudahan, termasuk penukaran rumput padang yang ketika itu dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun lepas.
Ng bagaimanapun berkata perubahan jadual berkaitan kerja naik taraf itu adalah disebabkan keperluan menambah baik sistem penyembur selepas ujian teknikal mendapati reka bentuk asal yang menggunakan 13 nozel tidak memberikan liputan siraman mencukupi.
“Selepas penelitian bersama pihak Universiti Putra Malaysia, sistem itu ditambah baik kepada 24 nozel, membabitkan gabungan penyembur 360 darjah di bahagian tengah dan 180 darjah di perimeter supaya air dapat diagihkan dengan lebih sekata tanpa membasahi trek larian.
“Keputusan ini diakui memang mengambil sedikit masa tetapi ia penting untuk memastikan sistem pengairan padang berfungsi dengan baik untuk jangka panjang,” katanya.
Selain itu, Ng berkata kerja menaikkan aras padang menggunakan pasir sungai turut mengalami gangguan bekalan susulan kenaikan harga diesel yang menjejaskan operasi mesin penyedut pasir, pengeluaran serta penghantaran oleh pembekal.
Beliau berkata sebanyak 30 lori pasir tambahan telah digunakan bagi mencapai aras dan ketebalan yang ditetapkan, sekali gus memastikan permukaan padang berada pada tahap yang sesuai sebelum kerja penanaman rumput dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, Ng berkata kos keseluruhan projek naik taraf padang stadium berkenaan berjumlah RM1,255,740 meliputi peruntukan RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta RM755,740 melalui Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). – BERNAMA






