
PUTRAJAYA: Kerja-kerja pemuliharaan Tugu Negara – arca gangsa berkumpulan berdiri sendiri tertinggi di dunia – dijangka bermula minggu depan dan dijadualkan siap sebelum 31 Ogos 2027, menurut Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Naib Canselor UMK Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata UMK akan berperanan sebagai rakan kongsi penyelidikan dan ilmu dalam projek tersebut.
“Peranan kami (UMK) tertumpu pada pendokumentasian, penyelidikan dan pemindahan ilmu, khususnya yang berkaitan teknik pemuliharaan dan restorasi.
“Kami mahu memastikan kepakaran yang dikongsi oleh pakar pemuliharaan dari Amerika Syarikat (AS) tidak terhad untuk projek ini sahaja, malah turut dipindahkan kepada ahli akademik dan pelajar kami.
“Projek ini juga akan menyediakan peluang untuk mengadakan bengkel, sesi perkongsian ilmu bersama orang awam, lawatan akademik serta penerbitan ilmiah,” katanya pada pelancaran inisiatif pemuliharaan Tugu Negara bernilai US$250,000 (kira-kira RM1.1 juta) yang disokong oleh AS di sini pada Selasa.
UMK menyediakan latihan teknikal secara praktikal kepada lebih 50 pelajar pemuliharaan dan profesional warisan Malaysia bagi membina kapasiti tempatan jangka panjang dalam penjagaan monumen.
Arham berkata inisiatif itu memberikan pengalaman teknikal yang amat berharga kepada profesional dan pelajar Malaysia, sekali gus memastikan negara memiliki kepakaran dalaman yang diperlukan untuk memelihara khazanah warisan negara demi generasi akan datang.
Projek berkenaan akan merangkumi pelbagai inisiatif penglibatan awam termasuk pameran, bahan pendidikan, bengkel awam serta sebuah dokumentari yang memaparkan proses pemuliharaan dan hubungan budaya yang telah lama terjalin antara Malaysia dan AS, katanya.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan, Cate Dillon berkata inisiatif pemuliharaan monumen negara itu akan memperkukuh hubungan diplomatik yang terjalin sejak 69 tahun lepas antara AS dan Malaysia, khususnya dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.
Beliau berkata geran berjumlah US$250,000 daripada Dana Duta Besar AS untuk Pemuliharaan Kebudayaan – yang disalurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS (Freedom 250) – bertujuan memulihara monumen tersebut menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-70.
“Tugu Negara telah dihasilkan oleh seorang artis Amerika, Tan Sri Felix de Weldon, yang turut menghasilkan Tugu Peringatan Perang Kor Marin di Arlington, Virginia.
“AS berbangga melancarkan kerjasama dengan Malaysia ini bagi memulihara warisan bersama kita dan membantu memastikan Tugu Negara terus berdiri teguh untuk generasi akan datang,” katanya pada majlis pelancaran itu, yang turut dihadiri Kuasa Usaha Kedutaan Besar AS di Malaysia, David H Gamble Jr.
Menurut Dillon, menerusi Dana Duta bagi Pemeliharaan Budaya, kerjasama itu juga akan memudahkan pertukaran kepakaran penting antara pemimpin pemeliharaan warisan sejarah dari kedua-dua negara.
Projek pemuliharaan tersebut menangani keperluan mendesak yang timbul akibat kesan cuaca tropika selama enam dekad, antara lain.
Pakar pemuliharaan daripada Perkhidmatan Taman Negara AS akan bekerjasama rapat dengan pakar pemuliharaan UMK serta Jabatan Warisan Negara untuk menstabilkan struktur tugu, membaiki sambungan struktur dan menyapukan lapisan pelindung khusus.
Idea asal Tugu Negara bermula pada 1960 semasa lawatan rasmi Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke Washington, DC.
Tersentuh dengan Tugu Peringatan Perang Kor Marin, Tunku Abdul Rahman berhasrat untuk membina tugu serupa di Kuala Lumpur bagi menghargai anggota keselamatan yang telah mengorbankan nyawa semasa Perang Dunia Kedua dan zaman Darurat Tanah Melayu.
Beliau menugaskan pengarca terkenal Amerika, Tan Sri Felix de Weldon iaitu tokoh di sebalik penciptaan tugu di Arlington itu, untuk mereka bentuk sebuah tugu yang siap dibina dan dirasmikan 60 tahun lepas, iaitu pada 1966. – BERNAMA







