
Di tengah-tengah kesibukan kota metropolitan yang sinonim dengan bangunan pencakar langit, jalan raya yang sibuk dan deruman kenderaan terselit sebuah oasis hijau terasa seperti melangkah ke dunia lain.
Melangkah masuk ke Taman Burung KL , ia terasa amat berbeza dengan suasana hijau, nyaman dan cukup cozy.
Ia seolah-olah pintu yang dibuka bukan sekadar membawa pengunjung ke sebuah destinasi rekreasi tetapi ke dunia kecil yang mempertemukan manusia dengan alam semula jadi.
Bunyi kicauan burung lebih dominan mencuri perhatian, pepohon rendang menjadi kanopi semula jadi manakala kehijauan yang terbentang luas memberikan ruang untuk manusia berhenti seketika daripada mengejar masa.
Bahkan, pengunjung juga berpeluang memberi makan kepada burung dari jarak dekat serta menyaksikan persembahan burung yang cukup menghiburkan.

Hijau di tengah konkrit ibu kota
Terletak di kawasan Taman Tasik Perdana, Taman Burung KL hanya 10 minit perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur.
Jadi, tidak hairanlah ia menjadi antara destinasi popular untuk aktiviti santai bersama keluarga, rakan-rakan atau sekadar menghabiskan masa hujung minggu.
Apa yang menjadikan kunjungan ke taman itu lebih istimewa ialah jumlah penghuninya yang bukan sedikit.
Ia menempatkan lebih 3,000 ekor burung daripada 200 spesies tempatan dan luar negara bebas bergerak di habitat yang menyerupai persekitaran semula jadi di taman itu.

Taman Burung KL mengamalkan konsep free-flight di beberapa zon utamanya. Di Zon 1, Zon 2 dan Zon 3, burung dibiarkan terbang dan bergerak bebas dalam kawasan aviari yang direka menyerupai habitat semula jadi mereka.
Maksudnya, pengunjung bukan sekadar melihat burung di dalam sangkar.
Sebaliknya, burung-burung ini boleh dilihat bertenggek di dahan pokok, berjalan di laluan, mencari makanan atau terbang bebas di sekitar kawasan taman.
Ada kalanya, pengunjung mungkin sedang berjalan sambil berbual, tiba-tiba seekor burung melintas di hadapan. Ada juga yang begitu dekat sehingga mudah untuk dirakam menggunakan kamera telefon.

Konsep sebegini memberikan pengalaman yang lebih dekat dengan alam semula jadi. Malah, persekitaran yang menyerupai habitat asal itu turut membolehkan burung membiak secara semula jadi dalam suasana yang sesuai.
Bagi yang datang bersama anak-anak, sesi memberi makan burung pastinya antara aktiviti yang tidak boleh dilepaskan.
Melihat burung datang mendekati pengunjung untuk mendapatkan makanan memberikan pengalaman yang cukup menyeronokkan terutama kepada kanak-kanak.
Alam menjadi ‘guru’
Dalam masa sama, ia menjadi peluang untuk mereka mengenali spesies burung dengan lebih dekat dan memahami tingkah laku haiwan berkenaan.
Namun, jangan pula terkejut kalau burung-burung itu nampak lebih berani daripada yang dijangka!
Selain memberi makan, persembahan burung juga menjadi antara tarikan yang boleh menceriakan kunjungan.

Dengan aksi dan gelagat burung yang mencuit hati, persembahan ini bukan sahaja menghiburkan, malah memberi gambaran tentang keunikan dan kebolehan pelbagai spesies burung.
Bagi pengunjung yang gemar mengambil gambar, memang banyak ‘spot’ menarik di sini. Warna bulu burung yang terang dan pelbagai, digabungkan dengan latar belakang pokok-pokok hijau, menjadikan hampir setiap sudut seperti lokasi fotografi semula jadi.
Kalau bernasib baik, boleh dapat gambar seekor burung mengembangkan sayap, terbang atau bertenggek cantik di dahan.

Satu lagi perkara yang membuatkan kunjungan ke sini lebih selesa ialah kemudahannya yang mesra pengguna, termasuk mesra kerusi roda.
Jadi, ia sesuai dikunjungi oleh pelbagai golongan, termasuk keluarga yang membawa anak kecil dan pengunjung yang memerlukan akses lebih mudah.
Taman Burung KL juga dikenali sebagai antara aviari berjalan kaki free-flight terbesar di dunia. Konsep ini menjadikan pengalaman berjalan di dalam taman bukan sekadar aktiviti melihat haiwan, tetapi seolah-olah pengunjung sedang memasuki dunia burung itu sendiri.

MATTA Fair 2026
Dalam pada itu, orang ramai berpeluang mendapatkan diskaun sehingga 50 peratus bagi tiket masuk ke Taman Burung Kuala Lumpur (KL Bird Park) sempena MATTA Fair 2026.
Tawaran istimewa itu berlangsung sepanjang tiga hari penganjuran MATTA Fair 2026 bermula 4 hingga 6 September ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Promosi berkenaan memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan tiket pada harga lebih rendah sambil merancang aktiviti bersama keluarga.

Menurut Pengurus Perhubungan Awam KL Bird Park, tawaran itu juga menjadi platform untuk memperkenalkan pengalaman serta tarikan yang terdapat di taman aviari berterbuka berkenaan.
Katanya, pengunjung berpeluang melihat lebih dekat pelbagai spesies burung yang ada di taman berkenaan.
“Kami ingin membawa pengalaman mendekati lebih 3,000 ekor burung daripada pelbagai spesies unik di dalam taman aviari berterbuka terbesar di dunia kepada lebih ramai pengunjung,” katanya.
Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi reruai KL Bird Park di Booth P150, Aras 1 MITEC, dari 10 pagi hingga 9 malam sepanjang pameran itu.







