
Kuala Lumpur: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima suapan RM1.097 juta, empat tahun lalu.
Ahli Parlimen Tapah berusia 58 tahun itu meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Tidak mengaku, minta dibicara,” katanya yang berdiri di dalam kandang tertuduh.
Bagi semua pertuduhan, Timbalan Presiden MIC itu didakwa secara rasuah menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38.
RM597,000 itu diterima melalui satu cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn. Bhd.
Suapan itu sebagai dorongan supaya beliau yang ketika itu berjawatan Menteri Sumber Manusia memberikan kelulusan terhadap permohonan sebanyak 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah resort golf di Bukit Jalil, di Jalan Telawi 3 Bangsar dan sebuah bank Cawangan Jalan Klang Lama, di sini, pada 16 Jun 2022 dan 7 Julai 2022.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan, beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala Saravanan diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.
Turut hadir mengikuti prosiding berkenaan ialah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan isteri Saravanan, Datin Seri Kavitha Vivekanandan
Terdahulu, Julaila berhujah kes dihadapi Saravanan adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin mengikut Jadual Pertama Kanun Tatacara Jenayah.
“Bagaimanapun, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan kadar jaminan RM800,000 dengan seorang penjamin.
“Selain itu, kami mohon syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, tertuduh melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiga bulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri ataupun melalui pihak ketiga,” katanya.
Peguam, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakil Saravanan membantah jumlah jaminan RM800,000 yang disifatkan terlampau tinggi, selain anak guamnya sudah memberikan kerjasama kepada pihak SPRM sepanjang siasatan.
“Tertuduh adalah seorang ahli Parlimen yang kerap hadir ke Parlimen dan ini juga menunjukkan fakta tiada kecenderungan untuk beliau melarikan diri,” katanya.
Mengenai pengemukaan pasport ke mahkamah, pihak pembelaan memohon syarat tambahan itu tidak dikenakan atas alasan Saravanan masih menerima rawatan di Hospital Apollo, Chennai di India.
“Beliau menerima rawatan berkala di hospital itu dan untuk tujuan itu juga beliau sering kali ke luar negara iaitu ke India secara khusus.
“Dalam keadaan itu, kami mohon agar pasport dikekalkan bersama beliau untuk membolehkan beliau menghadiri rawatan ini dan tidak mengganggu mahkamah dengan permohonan yang berulang.
“Kami tiada bantahan kepada syarat tambahan bahawa anak guam tidak akan mengganggu saksi dan anak guam melapor diri di Pejabat SPRM setiap tiga bulan sekali,” katanya.






