
SEPANG: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mengukir sejarah tersendiri dengan melaksanakan satu projek pembangunan hartanah wakaf berimpak tinggi menerusi pembinaan sebuah stesen minyak.
Stesen berkenaan dibangunkan di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terletak di Lot PT 69581 di sini dilengkapi restoran makanan segera dua tingkat.
Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, stesen itu menggunakan konsep Dealer-Owned Dealer-Operated (DODO) dengan kerjasama rakan perniagaan PETRON Malaysia.
“Ia bagi memastikan pengurusan operasi yang mampan serta pulangan optimum kepada wakaf.
“Projek ini mula beroperasi pada 29 Disember lalu dan menjadi salah satu aset wakaf strategik yang mampu menjana pendapatan berterusan, menyediakan peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.
Beliau menambah, PWS sangat menitikberatkan pembangunan tanah-tanah wakaf di dalam negeri Selangor dan komited untuk terus memperkasa pembangunan wakaf secara bersepadu serta progresif.
Katanya, ia demi memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan pembangunan sosioekonomi umat Islam di negeri ini.
“Secara keseluruhan, projek ini menelan belanja sebanyak RM9 Juta untuk bangunan, infrastruktur, perunding dan lain lain lagi.
“Manfaat bagi projek ini akan diserahkan semula kepada Masjid Sungai Ramal Luar sebanyak 50 peratus seperti yang diniatkan oleh pewakaf tanah sebelum ini,” ujarnya.
Katanya, pengurusan dan perniagaan stesen tersebut dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh PWS, WS Energy 1 Sdn Bhd (WSE1) yang ditubuhkan khusus bagi menguruskan projek pembangunan wakaf berimpak tinggi.





