KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuka tempoh khas bagi menerima permohonan kuota penggajian pekerja asing untuk tahun 2025 bermula 19 Januari hingga 31 Mac 2026.
Dalam satu kenyataan, KDN berkata, permohonan kuota sedia ada masih diterima sehingga tarikh akhir yang ditetapkan sebelum ini iaitu 31 Disember 2025.
Menurut kenyataan itu, tempoh khas berkenaan melibatkan permohonan bagi semua sektor dan subsektor yang telah diluluskan kerajaan pada 1 Oktober 2025.
“Permohonan berkenaan juga mematuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan termasuk permohonan penggajian tenaga kerja asing bagi sektor perkhidmatan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini ditutup lebih awal.
“Semua permohonan yang diterima sepanjang tempoh khas ini, akan dibincangkan bersama kementerian menyelia yang terbabit untuk pertimbangan dan tertakluk kepada syarat-syarat penggajian pekerja asing yang lain,” ujar kenyataan itu.
Dalam pada itu, KDN mengingatkan semua majikan agar mengemukakan permohonan secara terus tanpa pengantaraan ejen atau pihak ketiga di Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing, KDN.
Katanya, bagi melancarkan urusan permohonan dalam tempoh khas itu, temu janji perlu dibuat terlebih dahulu melalui sistem temu janji yang boleh diakses menerusi laman web rasmi KDN bermula 16 Januari 2026.
“Kemudahan tempoh khas ini diharap dapat membantu majikan mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing secara teratur dan terancang.
“Langkah ini selaras dengan iltizam Kerajaan Madani untuk terus peka terhadap keperluan industri serta komitmen meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
