KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan pemakaian tali leher oleh murid sekolah di bawah institusi pendidikan KPM tidak lagi diwajibkan mulai 2026.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, keputusan itu dibuat hasil Mesyuarat Profesional KPM (MPKPM) Khas 2025 yang bersidang pada 8 Disember lepas.
Beliau menjelaskan, pemakaian tali leher masih dibenarkan sekiranya dipersetujui bersama oleh pihak sekolah dan ibu bapa, namun tiada sebarang paksaan atau tekanan boleh dikenakan terhadap murid.
“Keputusan berkenaan mengambil kira faktor iklim Malaysia yang panas dan lembap serta beban kewangan ibu bapa dalam penyediaan kelengkapan persekolahan.
“KPM sentiasa prihatin akan keperluan bagi ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing sebelum bermula sesi persekolah baharu,” katanya menerusi Surat Siaran KPM Bilangan 5 Tahun 2025.
Dalam pada itu, surat siaran tersebut berkuat kuasa serta-merta mulai tarikh ia dikeluarkan.
