SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat.
Baginda bertitah operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.
Istana Alam Shah dalam kenyataan semalam memaklumkan baginda turut menitahkan satu kajian terperinci serta bancian menyeluruh berasaskan data yang sah hendaklah dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Negeri Selangor sahaja.
“Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.
“Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal,” kata kenyataan itu.
Ketetapan itu merupakan antara tiga perkara yang diperkenankan baginda berhubung pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di Selangor dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial di negeri ini.
Keputusan itu dibuat selepas Sultan Selangor menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan di sini semalam.
Dalam pada itu, kenyataan berkenaan memaklumkan perkara ketiga yang ditegaskan baginda ialah Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan termasuk di kawasan Bukit Tagar.
“Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri.” menurut kenyataan itu.
Baginda berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan ini dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Negeri Selangor sentiasa terpelihara.
