
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan baginda tidak berkenan aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini.
Baginda bertitah, aktiviti tersebut berpotensi menyebabkan pencemaran udara akibat bau busuk selain mencemarkan sumber air sungai susulan pelepasan najis serta sisa kumbahan.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju penternakan babi dilaksanakan di kawasan yang mendapat bantahan penduduk tempatan serta berpotensi menimbulkan kontroversi.
Menurut beliau, Perdana Menteri juga menegaskan tidak wajar aktiviti berkenaan diteruskan sekiranya tiada kawasan yang benar-benar bersesuaian, khususnya di Selangor.
“Sebagai contoh, cadangan penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang merupakan kawasan penempatan orang Melayu dan FELDA pasti mendapat bantahan penduduk setempat serta kawasan sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, aktiviti tersebut juga boleh mengakibatkan pencemaran kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Mohamad Munir berkata, walaupun pencemaran udara dan sungai mungkin dapat dikurangkan melalui kaedah penternakan moden, ia memerlukan kos yang tinggi dan tidak realistik untuk ditanggung oleh pihak yang menternak hanya bagi memenuhi keperluan daging babi di negeri ini.
“Tiada jaminan kaedah moden dapat mengelakkan sepenuhnya pencemaran air di kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi punca bekalan air bersih kepada penduduk Lembah Klang.
“Selain itu, penternakan babi sama ada berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor berikutan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang seharusnya dimanfaatkan bagi tujuan lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Justeru, kata kenyataan itu, baginda menyarankan kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen pengimportan daging babi bagi menampung keperluan masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor.
Menurut Mohamad Munir, kaedah tersebut bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang berlarutan sejak sekian lama, malah membolehkan kerajaan negeri mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan pembangunan dan penempatan.
Dalam pada itu, Sultan Selangor menegaskan isu penternakan babi dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan pelbagai pihak serta menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.
Mohamad Munir turut mengajak semua pihak menghormati titah Sultan Selangor dan bersama-sama memelihara perpaduan serta keharmonian di negeri ini.





