
KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan insiden pukul membabitkan tujuh anggota di Kem 25 RAMD, Bentong, Pahang pada Isnin lepas berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) terhadap penugasan.
TDM memaklumkan, suspek dilaporkan menampar dan menumbuk mangsa, menyebabkan seorang anggota Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dengan bantuan alat pernafasan.
“Dalam insiden yang sama, seramai enam anggota lain disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemuanya telah dibawa ke Hospital Bentong oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas keterangan mereka diambil,” menurut kenyataan itu hari ini.
TDM menegaskan pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan suspek telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Selain itu, kenyataan utu menambah, TDM sendiri telah menubuhkan Lembaga Siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.
“Tindakan tegas yang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“TDM sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang menyalahi undang-undang dan peraturan sedia ada,” tegas kenyataan itu.
TDM memohon agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, serta demi menghormati privasi mangsa dan ahli keluarganya dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Semalam, media melaporkan polis menahan seorang tentera berpangkat koperal bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul tujuh anggota lain termasuk menyebabkan seorang daripada mereka cedera parah di kem berkenaan.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada bapa mangsa yang berusia 49 tahun dan menahan suspek berusia 37 tahun kira-kira 2.30 petang 31 Mac lepas.







