
KUALA LUMPUR: Sebanyak 44 peratus tiket Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi musim perayaan Aidilfitri sudah terjual setakat ini dan dijangka habis sepenuhnya menjelang Februari depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata susulan permintaan tinggi itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah lapan perkhidmatan ETS khas sepanjang tempoh 13 hingga 29 Mac ini, melibatkan purata dua perjalanan tambahan sehari bagi setiap laluan terlibat.
Katanya, laluan yang terbabit ialah Johor Bahru (JB) Sentral–Kuala Lumpur (KL) Sentral–JB Sentral, KL Sentral–Padang Besar–KL Sentral, KL Sentral–Ipoh–KL Sentral serta KL Sentral–Butterworth–KL Sentral.
“Jualan tiket bagi perkhidmatan tambahan ETS sempena Hari Raya Aidilfitri ini akan dibuka pada 1 Mac 2026,” katanya dalam sidang akhbar Perkhidmatan KTM Komuter sempena Thaipusam 2026 di KL Sentral, hari ini.
Anthony berkata, sebanyak 36,540 tiket ditawarkan bagi perkhidmatan tambahan berkenaan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS yang beroperasi mencecah maksimum 52 perjalanan sehari sepanjang musim perayaan.
Beliau juga memaklumkan perkhidmatan ETS akan ditambah sempena sambutan Tahun Baharu Cina berikutan permintaan tinggi dengan tiket sedia ada hampir habis terjual.
Katanya, KTMB akan menambah perkhidmatan ETS bermula 13 hingga 22 Februari ini bagi laluan KL Sentral–Butterworth–KL Sentral, KL Sentral–Ipoh–KL Sentral, KL Sentral–Padang Besar–KL Sentral dan JB Sentral–KL Sentral–JB Sentral, masing-masing dengan dua perjalanan sehari.
“Bagi tempoh tersebut, sebanyak 26,450 tiket akan ditawarkan dan jualan tiket akan dibuka pada 29 Januari ini,” katanya.







