
MELAKA: Tiada keperluan ketika ini untuk kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengiringi kapal tangki negara yang melalui Selat Hormuz.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, keutamaan TLDM adalah memberi tumpuan kepada aspek keselamatan perairan negara berbanding terbabit secara langsung di kawasan tersebut.
Menurutnya, TLDM sentiasa bersiap siaga sekiranya diperlukan, namun situasi semasa tidak memerlukan penglibatan sedemikian.
“Buat masa ini tidak ada keperluan untuk kita mengiring di situ kerana fokus utama adalah menjaga keselamatan perairan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Peluncuran Program IA-ATM di Kem Terendak, Sungai Udang di sini hari ini.
Adly turut memaklumkan kerjasama yang terjalin dengan pihak berkaitan, termasuk Iran, berada dalam keadaan baik dan segala komitmen yang dijanjikan setakat ini telah dilaksanakan.
Mengulas lanjut, beliau berkata isu berkaitan laluan strategik Selat Hormuz berada di bawah bidang kuasa Kementerian Luar kerana melibatkan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).
Menurutnya, Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dua hala dengan negara terlibat bagi memastikan keamanan serantau sentiasa terpelihara.
“Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan Iran dan kerjasama ini penting dalam memastikan kestabilan serta keselamatan di rantau berkenaan,” katanya.
Beliau menegaskan, dalam usaha mencapai keamanan, Malaysia tetap menghormati kedaulatan setiap negara, termasuk Iran.




